UTUSAN ONLINE

Niaga Mingo Mingo lumayan


sha'ari Md. Salleh melayan pelanggan membeli aiskrim buatan Malaysia yang dijual di kedai runcit Al-Zudin Enterprise, Bayan Baru. - utusan/ zhafaran nasib


PULAU PINANG 3 Feb. - Kaum bumiputera sememangnya digalakkan menceburi bidang keusahawanan atau perniagaan, tidak kira dalam menawarkan perkhidmatan mahupun produk atau rekaan.
Walaupun bidang ini ada 'turun-naiknya' namun dengan kesabaran yang tinggi dan semangat juang berkobar-kobar, pasti ia akan membuahkan hasil lumayan.
Bagi mencapai matlamat tersebut di samping mencari rezeki yang halal, ia mendorong seorang pemuda, Sha'ari Md. Salleh, 28, untuk menjadi seorang peniaga aiskrim produk bumiputera di sebuah kawasan perumahan di Persiaran Mayang Pasir, Bayan Baru di sini.
Bertempat di Pasar Mini Al-Zudin Enterprise, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk membuka 'kiosk aiskrim' miliknya yang baru beroperasi kira-kira sebulan lalu.
Apa yang lebih menarik, aiskrim jualannya itu bukannya datang dalam bentuk yang sudah siap tetapi dia sendiri perlu memprosesnya terlebih dahulu sebelum dijual kepada orang ramai.
Menurutnya, dia harus mendapatkan acuan perisa dahulu sebelum membekukannya dalam sebuah mesin kira-kira 30 minit sebelum menghasilkan aiskrim tersebut yang dikenali dengan nama 'Mingo Mingo' itu.
''Setiap hari saya akan mengubah perisa aiskrim ini iaitu vanilla dengan strawberi atau vanilla dengan coklat.
''Mesin untuk memproses aiskrim ini pula bukannya murah bagi peniaga kecil macam saya ini. Ia bernilai RM15,000 namun berbaloi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Penulis dan jurugambar diberi peluang menikmati aiskrim 'bancuhannya' itu dan ternyata ia setanding dengan aiskrim-aiskrim yang dijual di kiosk-kiosk syarikat makanan besar lain.
Rasanya lemak berkrim dan tidak terlalu manis.
Sementara itu, Sha'ari berkata, aiskrim Mingo Mingo sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk di sekitar taman perumahan tersebut dan bukan sahaja kanak-kanak malah golongan dewasa turut meminatinya.
Katanya, produk tersebut merupakan 100 peratus keluaran bumiputera serta halal. Setiap aiskrim berkon itu dijual pada harga RM1.
''Pengasas aiskrim Mingo Mingo ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini dan difahamkan beliau pernah berkhidmat dengan salah sebuah syarikat aiskrim terkenal di negara ini tidak lama dahulu.
''Mesin untuk membancuh dan membekukan aiskrim ini turut diilhamkan daripada pengasas. Mesin tersebut dikatakan dibuat di China," jelasnya.
Sha'ari turut merancang untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan menambah sebuah lagi mesin itu dan dibuka di kawasan lain pula.
Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan perniagaannya akan berjaya dan mampu memberi pulangan yang memuaskan kelak.
''Sekarang ini pun, orang ramai mulai memboikot produk-produk dan jenama dari Amerika Syarikat (AS).
''Daripada guna produk-produk tersebut, baik guna barangan keluaran tempatan kerana bagi saya kualiti produk di sini tidak ada bezanya dengan barang luar," ujarnya.